KUALA LUMPUR, 17 Disember- Susulan pengumuman subsidi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 bagi tahun depan, ia dibuat berdasarkan kedudukan terkini kewangan Tabung Haji.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, subsidi yang dikeluarkan badan itu juga perlu diambil kira berdasarkan kedudukan kewangan semasa.
"Soalan berkaitan Tabung Haji, kos memang RM33,000. Sebelum ini Tabung Haji ada kedudukan yang lebih baik, maka beri subsidi lebih baik.
"Tabung Haji perlu melalui proses untuk menambah baik kedudukan kewangannya sejak 2018, maka pertimbangan mengenai berapa subsidi yang diberikan itu yang menghasilkan keputusan-keputusan ini", katanya menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad dalam Dewan Negara hari ini.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dalam sidang media memaklumkan bayaran haji ditingkatkan 20 peratus bagi tahun 2025.
Jelasnya, kenaikan itu melibatkan jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di tanah suci.
Bagi tahun 2025, kadar bayaran jemaah haji Muassasah kumpulan B40 ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 pada 2024, manakala kos haji Muassasah bagi musim sama kekal iaitu RM33,300 seorang.