KUALA LUMPUR, 17 Disember- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan perpindahan sesebuah sekolah, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dari tapak sedia ada ke lokasi baharu.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memaklumkan permohonan itu tertakhluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan KPM antaranya lokasi sekolah sedia ada berada di kawasan yang tidak selamat dan tapak sekolah sedia ada akan diambil semula oleh pemilik.
"Permohonan perpindahan sekolah bantuan kerajaan (SBK) ke lokasi baharu akan dipertimbangkan setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk tapak baharu telah dikenal pasti dan diberikan hak milik kepada lembaga pengelola sekolah (LPS).
"...memperoleh persetujuan bertulis daripada ibu bapa atau penjaga murid pada tahun semasa, pihak persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan LPS serta syarat-syarat lain yang berkaitan," katanya.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Kesavadas Nair berkenaan perincian berkaitan kriteria penempatan semula SJKT di kawasan pedalaman, termasuk sama ada dipindahkan ke kawasan mempunyai populasi penduduk berbangsa India lebih ramai dan strategik atau terdapat pertimbangan lain yang relevan.
Bagaimanapun permohonan perpindahan ke lokasi baharu hendaklah dikemukakan kepada KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk pertimbangan dan kelulusan.