fb fb fb fb fb

Penyelidik FRIM rangkul anugerah penyelidik wanita cemerlang

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Seorang penyelidik wanita di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) merangkul Anugerah Penyelidik Wanita Cemerlang daripada Venus International Foundation di Chennai, India, Mac lepas.

Dr V.Jeyanny, pegawai penyelidik kanan pengkhususan dalam bidang sains tanah yang berpengalaman selama 19 tahun merupakan seorang daripada 33 penyelidik yang dipilih menerima anugerah itu daripada 974 calon.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Jeyanny berkata beliau berbesar hati menerima anugerah itu atas usahanya dalam bidang kesuburan tanah.

“Saya giat mendalami bidang sains tanah sejak 2003 dan penyelidikan saya meliputi pemuliharaan tanah, pemulihan, kimia tanah dan tumbuhan serta peranan tanah dalam perubahan iklim. Saya juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia ketika ini.

“Saya berbesar hati menerima anugerah ini kerana ia menunjukkan wanita juga mampu cemerlang dalam bidang ini yang rata-ratanya didominasi lelaki,” katanya.

Jeyanny turut berkongsikan bahawa beliau diberi peluang menyampaikan ucaptama mengenai cabaran yang dihadapi sebagai seorang saintis wanita dan cara mengatasinya pada majlis Venus International Women Award (VIWA) berkenaan.

VIWA bertujuan mengiktiraf wanita atas pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang sains.

(Dr V.Jeyanny)

Menurut Jeyanny, kajian FRIM semakin penting bagi pemuliharaan sumber tanah memandangkan pembangunan pesat, peningkatan populasi dan permintaan makanan menimbulkan ancaman kepada ekosistem.

“Adalah penting untuk memahami ekosistem dan untuk kita belajar cara mengurus sumber tanah kita secara lestari.

“Kita perlu memastikan penggunaan tanah kita tidak menjejaskan alam sekitar dan menimbulkan masalah seperti hakisan, banjir dan kemusnahan pesisir pantai," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa FRIM menerusi Cawangan Pengurusan Tanahnya menyediakan khidmat nasihat mengenai pengurusan tanah, pengesyoran berdasarkan analisis makmal dan lapangan, pemetaan tanah serta nasihat mengenai pemulihan dan pemuliharaan yang memerlukan teknik pindaan tanah yang inovatif dan kesesuaian spesies tapak.

Media Baharu