fb fb fb fb fb

Penyelewengan subsidi diesel, KPDNHEP Kedah berjaya bongkar kegiatan haram

KULIM, 19 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah menerima serahan kes penyelewengan subsidi diesel sebanyak 8,839 liter yang dianggarkan bernilai RM19,000.

Ia hasil serbuan yang dilakukan sepasukan Polis Gerakan Am (PGA) daripada Cawangan Risik, Batalion 2 PGA Kulim pada Ahad di Kampung Pondok Labu, Jalan Keladi, Kulim.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Afendi Rajini Khath berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut menerima serahan dua buah lori 5 tan yang memuatkan 8 tangki fiber berisi minyak diesel dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM94,000.

Serbuan dilakukan di sebuah kawasan lapang disyaki stor simpanan tanpa lesen dan hanya ditutupi pintu pagar zink.

"Sebelum serbuan dijalankan pihak polis telah menahan sebuah lori yang mengisi minyak diesel ke dalam tangki tambahan daripada tangki standard, di sebuah stesen minyak di Taman Kobis, Lunas," kata Afendi kepada pemberita RTM selepas operasi dijalankan.

Hasil soal siasat ke atas pekerja lelaki dikawasan itu telah membawa anggota serbuan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lagi pekerja sedang mengepam keluar minyak diesel dari sebuah lagi lori yang memiliki tangki tambahan ke dalam sebuah tangki skid.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua pekerja gagal mengemukakan permit menyimpan atau surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP.

Kedua-dua mereka yang berusia dalam lingkungan 40 dan 50an ditahan.

"Kita difahamkan minyak tersebut di simpan sementara di lokasi tersebut sebelum dibawa keluar dan diseludup masuk ke negara Thailand," tambah Afendi.

Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.


(Lokasi kegiatan haram penyelewengan subsidi diesel berjaya dihidu pihak berkuasa)

Media Baharu