fb fb fb fb fb

MOT sedia jalankan tugas kawal selia penggajian pekerja asing - KDN

KUALA LUMPUR, 19 Julai- Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dilantik sebagai Agensi Kawal Selia bagi mengawal selia pengurusan penggajian pekerja asing di subsektor gudang darat.

Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu disambut baik Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurutnya, MOT bakal menggalas tanggungjawab berkenaan dengan sebaik mungkin selain mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Disebabkan aktiviti import dan eksport menjadi lebih rancak akibat permintaan dan mencapai satu tahap yang memberangsangkan antara rungutan disebutkan adalah tiada pekerja. Jadi, ini akan membantut dari segi pemunggahan barang dan sebagainya. Kita menyambut baik pengumuman yang telah dibuat oleh KDN dan saya akan arahkan MOT untuk menjalankan tugas mengawal selia berdasarkan garis panduan yang ditetapkan di bawah Akta 446 di bawah Kementerian Sumber Manusia," kata Wee Ka Siong kepada pemberita RTM di ibu negara.

Tambahnya, antara aspek yang akan diberi keutamaan dalam elemen mengawal selia adalah kesahihan sesebuah gudang bagi mengelakkan penyalahgunaan.

"Pertama, kita perlu tentukan kesahihan aktiviti pergudangan tersebut. Adakah ia satu syarikat yang benar-benar beroperasi? Berapakah keperluan pekerja asing yang diperlukan dan barulah kita dapat memantau dengan lebih rapi. Kita tidak mahu berlaku penyalahgunaan dan ini tertakluk di bawah subsektor gudang darat sahaja kerana ini sahaja liputan yang diamanahkan kepada MOT," tambah Wee Ka Siong selepas Majlis 'Welcoming Dinner 13th Cooperative Mechanism' yang berlangsung di Hotel Intercontinental.


(Foto FB Menteri)

Media Baharu