KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Usaha membudayakan al-Quran dalam kehidupan akan terus diperhebat bagi melahirkan generasi berakhlak dan berbudi pekerti mulia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mentadabbur dan memahami al-Quran juga penting bagi mencapai matlamat itu, berbanding hanya membacanya.
“Insya-Allah usaha-usaha ini akan terus diperhebatkan bukan sekadar untuk bacaan tetapi al-Quran ini perlu difahami melalui cara tadabbur dan diaplikasikan dalam kehidupan.
Jadi mesej ini bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi untuk kita bawa ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Pesan Tokoh dalam program MTHQA #Quranhour sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa 1447H/2025M di ibu negara.
Dalam program itu, Surah al-Saff dipilih sebagai surah utama untuk dihayati dalam usaha menyeru umat Islam agar bersatu dalam satu barisan yang kukuh dan teguh.
Antara personaliti al-Quran yang hadir membaca dan mentadabburinya ialah Fazrul Ismail, Dr Shafiq Sahimi, Ustaz Tirmizi Ali, Ustaz Husaini Mahmur serta Syeikh Mo’min Falah dari Palestin.