MERSING, 7 April - Polis menahan tekong bot yang membawa empat penyelam warga asing yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di Mersing, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan tekong berusia lewat 20-an itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Siasatan dijalankan mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat)
Dalam pada itu, polis juga akan menyiasat faktor lain yang menyumbang kepada kejadian tersebut.
"Menyiasat dari segi kelengkapan menyelam, dan pusat menyelam. kita akan melakukan siasatan. Pasukan Forensik akan sampai untuk membuat siasatan. Kalau ada salah laku dan sebagainya, kita siasat. Yang penting operasi mencari dan menyelamat (SAR) sahaja", katanya.
Seramai 90 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi SAR yang bermula sejak petang semalam.
Selain PDRM, operasi tersebut turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan.