fb fb fb fb fb

Azan Maghrib awal di Kuala Krai, tindakan pihak berkuasa agama

KOTA BHARU, 7 April - Tiada laporan polis dibuat oleh penduduk setempat atau mana-mana pihak berhubung kejadian laungan azan maghrib awal empat minit di sebuah Surau di Guchil 7, Kuala Krai Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, setakat ini, pihaknya menyerahkan siasatan mengenai kes tersebut kepada Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk tindakan lanjut.

Pihaknya sedia maklum perkara itu menjadi tular di media sosial.

"Saya boleh sahkan bahawa setakat ini tiada laporan polis dibuat dan saya percaya jika ada pun tindakan boleh diambil kita serah kepada pihak berkuasa agama untuk tindakan susulan," beliau berkata kepada pemberita selepas membuat tinjauan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan Stadium Muhammad lV di sini.

Terdahulu, tular di media sosial apabila terdapat dakwaan yang mengatakan bilal surau Al-Qadir melaungkan azan maghrib empat minit awal.

Keadaan itu menyebabkan banyak perdebatan dalam kalangan masyarakat yang mengatakan bahawa penduduk di sekitar Guchil 5, 6 dan 7 di Kuala Krai perlu menggantikan puasa selepas didapati berbuka lebih awal daripada waktu sepatutnya.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, membuat tinjauan pemantauan pematuhan
SOP di Bazar Ramadan Stadium Muhammad lV)

Media Baharu