KUALA TERENGGANU, 7 April - Seorang tekong bot nelayan dikhuatiri hilang, manakala dua awak-awak terselamat selepas bot dinaiki karam di perairan Pulau Kapas, tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata lokasi kejadian bot karam terbabit adalah di kedudukan lapan batu nautika, Pulau Kapas.
Menurut Kepten Maritim Muhammad Suffi, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari semalam ketika tiga lelaki warga tempatan berusia antara 48 dan 62 tahun sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
KM REDANG digerakkan sejurus Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim, M-R-S-C Kuantan menerima maklumat.
Pengadu memaklumkan, bot nelayan tempatan kelas B dengan nombor pendaftaran TRF 1027 itu dilaporkan tenggelam di sekitar Pulau Kapas.
Dua mangsa berusia 48 dan 60 tahun sempat diselamatkan kerana memakai jaket keselamatan.
Manakala seorang lagi mangsa, Wan Mustapha Ayob, 62 tahun masih hilang.
Usaha mengesan dan mencari mangsa yang disyaki hilang diteruskan hari ini dengan bantuan nelayan tempatan.
Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat kecemasan dan salah laku di talian MERS 999 atau 09-6223657 (Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu).
(Lokasi kejadian bot karam)