KUALA NERANG, 7 April - Tiada peniaga dan pengunjung bazar Ramadan di Daerah Padang Terap, Kedah yang diambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard, (SOP) yang ditetapkan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan, pengunjung dan peniaga memberi kerjasama yang baik.
(Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar membuat pemantauan di Bazar)
"Nasihat saya kepada semua peniaga dan pengunjung bazar Ramadan, dalam kita ghairah untuk membeli juadah berbuka puasa, kita kena ingat bahawa COVID-19 masih ada di negara kita,
"Jadi nasihat saya kepada semua pengunjung bazar Ramadan ini sila patuh SOP, yang penting pakai pelitup muka dan jika suhu lebih 37.5 darjah celcius minta tolong jangan keluar
"Pastikan kita jaga jarak walaupun kelonggaran telah diberi oleh kerajaan tetapi kita kena jaga jarak supaya tidak terlalu rapat untuk memastikan covid tidak menjangkiti kita semua," beliau berkata selepas melakukan pemantauan dibawah Program High Profile Policing (HPP) Ketua Polis Daerah Padang Terap di Bazar Ramadan disini.
Tegas DSP Mulkiaman, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengunjung atau peniaga yang didapati mengabaikan SOP
yang ditetapkan.
Pihaknya akan melakukan pemantauan secara berterusan di bazar Ramadan dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
(Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar, melakukan pemantauan bersama anggotanya)