fb fb fb fb fb

Kes denggi di Johor meningkat

JOHOR BAHRU, 7 April - 28 kes baharu demam denggi direkodkan di Johor pada Minggu Epid ke-13, tahun ini, melibatkan 13 kes daripada lokaliti wabak dan 15 lagi dari lokaliti bukan wabak.

Jumlah itu meningkat 3.7 peratus berbanding minggu sebelumnya, iaitu 27 kes.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Aman Rabu, Johor Bahru merekodkan jumlah tertinggi iaitu 15 kes, diikuti lapan kes di Kulai, Pontian dua kes serta Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi masing-masing satu kes.

Tiga lokaliti wabak baharu dilaporkan di Johor Bahru, sementara lima lokaliti wabak aktif dikesan, melibatkan empat di Johor Bahru dan satu di Kulai.

Secara keseluruhan, 323 kes denggi direkodkan di Johor setakat ini, menurun, berbanding 724 kes bagi tempoh sama, tahun lepas, dengan 82 lokaliti.

Tiada kematian direkodkan.

Dalam perkembangan sama, 851 kompaun bernilai 462 ribu 500 ringgit dikeluarkan penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor di rumah yang mempunyai tempat pembiakan aedes.

55 peratus daripadanya sudah membayar kompaun.


(Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Aman Rabu)

 

Media Baharu