fb fb fb fb fb

Penyedia aplikasi Azan diminta selaraskan tarikh dan masa ikut Takwim JAKIM

(FOTO Youtube.com/@AliGajet)

PUTRAJAYA, 6 April-Penyedia aplikasi azan di telefon pintar diminta untuk menyelaraskan tarikh dan masa standard mengikut takwim Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Penolong Pengarah Kanan Seksyen Kajian Falak, Bahagian Penyelidikan JAKIM, Khairul Anuar Yazid, mereka diminta untuk menyelaraskan tarikh tersebut kerana didapati terdapat sebilangan penyedia aplikasi menggunakan waktu zon Mekah yang menyebabkan wujudnya perbezaan tarikh dan waktu yang ketara berbanding waktu tempatan.

Jelasnya, tarikh dan waktu yang berbeza ini akan menimbulkan kekeliruan terutama melibatkan tarikh-tarikh penting umat Islam seperti tarikh hari raya dan juga tarikh permulaan puasa.

"Mereka mendakwa mengambil sumber waktu solat daripada JAKIM tetapi tarikh tersebut diambil daripada Arab Saudi, ada yang tidak merujuk kepada sumber rasmi, jadi mereka mendakwa jam ini telah disahkan oleh JAKIM, namun, sebahagian sahaja maklumat yang ada dalam jam tersebut yang diambil bersumberkan JAKIM", katanya ketika ditemui disini.

Tambahnya, para penyedia aplikasi azan dan sebagainya boleh mendapatkan data berkenaan takwim Islam, waktu solat dan pelbagai maklumat lain melalui JAKIM secara percuma.

Dalam pada itu, JAKIM akan mencerap anak bulan Syawal pada 20 April bersamaan 29 Ramadan ini bagi menetapkan tarikh 1 Syawal nanti.
 
Justeru, buat masa ini, JAKIM tidak pernah mengeluarkan sebarang ketetapan tarikh bagi Hari Raya Aidilfitri menerusi mana-mana platform.


(Beberapa contoh aplikasi Azan di telefon pintar/Youtube.com/@AliGajet)

Media Baharu