fb fb fb fb fb

Penyatuan ummah fokus utama Menteri Agama

(Majlis bacaan yasin dan doa selamat bersama pengarah-pengarah bahagian JAKIM)

PUTRAJAYA, 5 Disember- Penyatuan ummah menjadi fokus utama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.
 
Bekas Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkata, beliau akan berjumpa dengan kesemua pemegang taruh agensi dibawahnya terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan hala tuju lebih jelas dibuat.
 
"Berkat sokongan semua agensi agama, kita akan pastikan supaya matlamat Islam itu dimartabatkan di negara kita. Insya-Allah semua akan berjaya dan bersatu. Jadi itu harapan saya.

"Semoga Allah beri petunjuk kepada saya untuk memimpin agensi-agensi agama ini kearah kebaikan. Saya percaya dengan sokongan semua kita akan berjaya untuk laksanakan tanggungjawab ini," katanya selepas mengimbas kad perakam waktu di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada pukul 8.30 pagi tadi.
 
Menurutnya, perpecahan yang berlaku pada umat Islam perlu diberi perhatian oleh setiap agensi supaya masyarakat dapat hidup dalam suasana harmoni berteraskan nilai Islam.

(Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar)

Beliau juga sempat mengadakan majlis bacaan yasin dan doa selamat bersama pengarah-pengarah bahagian JAKIM sebelum menghadiri mesyuarat khas kabinet Kerajaan Perpaduan bersama Perdana Menteri di Perdana Putra.
 
Datuk Dr Naim merupakan anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur pernah dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie dan juga Ketua Pengarah JKSM pada 1 April 2019.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Petaling Jaya dari 1998 hingga 2001 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dari 2001 sehingga 2003.
 
Selain itu, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) di University of London, United Kingdom dan Doktor Falsafah (PhD) Syariah di Universiti Malaya (UM).

Media Baharu