BUTTERWOTH, 2 November - Penyasaran subsidi yang dilaksana kerajaan merupakan antara langkah penjimatan dalam urusan perbelanjaan negara.
Sekali gus memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah, selain membantu membangun kelompok penjaja dan peniaga kecil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, naratif penyasaran itu perlu diperjelas dalam usaha mentadbir negara secara adil.
"Ada yang pendapatan RM1 juta sebulan, subsidi elektrik, kita beri, minta beri munasabah ke? Tidak masuk akal diteruskan, ini yang saya lakukan. Apabila kita tarik subsidi daripada golongan ini, jadi kita boleh bantu peniaga dan penjaja.
"Bagaimana kita nak dapatkan wang, daripada penjimatan perbelanjaan negara. Dari mana? Daripada orang kaya, janganlah kasi sedekah. Subsidi kasilah orang susah," kata Anwar.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 di Butterwoth, Pulau Pinang.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan pertambahan RM250,000 peruntukan kepada sektor berkenaan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 bulan lalu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi Geran Padanan Digital PMKS & Penjaja.
Sementara itu, Anwar bersetuju dengan cadangan pelaksanaan koperasi bagi persatuan penjaja dan peniaga kecil.
Namun ia perlu bergabung dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) bertujuan mengurangkan kos pengurusan dan pentadbiran.
"Saya minta selaras dengan ANGKASA supaya jangan bertindih, ANGKASA sudah ada pusat pengedaran hampir setiap daerah. Persatuan penjaja dan peniaga harus ada koperasi yang boleh bergabung supaya kurangkan kos pengurusan dan pentadbiran. Saya sudah tidak mahu beri berjuta ringgit kos tinggi," kata Anwar.