fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 pengunjung sambut ulang tahun LangkawiFM ke-31

Sambutan ulang tahun LangkawiFM di Padang Matsirat, Langkawi

LANGKAWI, 2 November- Ulang tahun ke-31 LangkawiFM disambut meriah malam tadi dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung di Padang Matsirat.

Berkonsepkan Nostalgia 93, para pengunjung dan pendengar dibawa mengimbau tahun 1993 yang merupakan Radio 3 Langkawi mula diperkenalkan di pulau lagenda itu.

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, selaras perkembangan dunia digital stesen radio itu disarankan menghasilkan lebih banyak program-program atau kandungan menarik.

"Harapan kita agar LangkawiFM terus mendapat sambutan dari penduduk Langkawi sendiri dan seterusnya ianya digemari juga oleh penduduk di luar Langkawi.

"...kerana LangkawiFM bukan sahaja dapat didengar di Langkawi malah seluruh negara seluruh dunia melalui saluran digital kita iaitu RTMKlik," katanya.

Beliau ditemui selepas mini showcase Sambutan Ulang Tahun LangkawiFM ke-31 di Art Box, Padang Matsirat, di sini.

Para pengunjung dihiburkan oleh Baggio, Ani Maiyuni, Syazwan Shahmi serta kumpulan tempatan yang mendendangkan lagu-lagu dari tahun 1993.

Ia turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyiaran Langkawi, Shamshina Mohammed Said, wakil-wakil Jabatan Penyiaran kawasan utara dan juga agensi-agensi yang sering berkerjasama dengan LangkawiFM.

LangkawiFM mula beroperasi di pulau Langkawi pada 1 November 1993 dan dikenali sebagai Radio 3 Langkawi.

Namun pada 2005, nama tersebut telah ditukar kepada LangkawiFM pada tahun 2005.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI