KUALA LUMPUR, 21 Mei- Jemaah menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api bermula dengan diesel hanya melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perutusan negara malam ini memaklumkan, pelaksanaan tersebut itu tidak membabitkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan menggunakan diesel dalam rutin harian mereka.
"Kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi. Maknanya pengusaha bas, teksi, nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi atau bantuan untuk membantu mereka,"katanya.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan turut bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.
"Sebarang penyasaran subsidi tidak harus membebankan rakyat terbanyak kalau ditanya kenapa perlu kerana kita tidak mampu memberi subsidi kepada golongan maha kaya dan warga asing,"katanya.
Jelasnya lagi, penyasaran subsidi diesel itu membolehkan kerajaan melakukan penjimatan kasar berjumlah sekitar RM4 bilion setahun.
Sementara itu, dalam perutusan sama, Datuk Seri Anwar memaklumkan, rekod pelaburan negara dijangka melonjak lagi pada tahun ini berbanding angka yang dicatatkan pada 2023, dibuktikan dengan potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion yang berjaya ditarik setakat Mac 2024.
Beliau berkata jumlah itu diraih menerusi pelabur tradisional seperti Amerika Syarikat dan China selain pelabur dari Australia bernilai RM24.5 bilion serta Jerman dan Perancis (RM46 bilion).
Dalam perkembangan berlainan, Perdana Menteri memberi jaminan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan insiden serangan dan keganasan di negara ini.
Begitupun, beliau menyatakan keadaan ketika ini adalah terkawal dan akan bertambah baik.
"Saya ingin memberi jaminan telah mengadakan pertemuan dengan pasukan keselamatan bahawa kita akan bertindak keras terhadap gerombolan tersebut dan insya-Allah keadaan akan bertambah tenang dan terkawal.
"Nampaknya ada usaha untuk mengeruhkan suasana dalam keadaan negara aman dan ekonomi yang mula mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan,"katanya.
Beliau menyentuh perkara itu susulan insiden serangan keganasan sehingga meragut nyawa anggota keselamatan baru-baru ini.