
TAWAU, 1 November – Jenazah penyampai radio TAWAUfm, Abdullah Haji Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai DJ Akhiey, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 2, Jalan Apas, di sini, kira-kira 12.39 tengah hari tadi.
- Meninggal kira-kira 5.15 pagi semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
- Saudara berkata beliau mampu berjalan ketika tiba di hospital, tetapi keadaannya bertukar selepas berbaring.
- Dikenali peramah, suka menceriakan keluarga, sering berkongsi nasihat, diumpamakan sebagai guru atau sifu.
- Menyertai RTM sejak 2005, berpengalaman IT, dikenang kerana kesediaan membimbing rakan sekerja; meninggalkan isteri dan dua anak.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 5.15 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Tawau.
Abang kandung allahyarham, Ustaz Haji Mohd Hussain Haji Abdul Wahid berkata, Allahyarham Abdullah masih mampu berjalan sebaik tiba di hospital sebelum keadaannya berubah selepas berbaring di atas katil.
“Allahyarham seorang yang peramah, bersahaja dan gemar menceriakan suasana keluarga, selain sering berkongsi nasihat serta pengalaman dengan adik-beradiknya.
“Allahyarham diumpamakan sebagai guru atau sifu yang banyak memberikan tunjuk ajar dalam pelbagai perkara,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Penyiaran TAWAUfm, Muzrina Jubaira Sarfuddin menyifatkan pemergian allahyarham sebagai kehilangan besar kepada keluarga besar stesen stesen radio itu.
“Allahyarham yang menyertai RTM menerusi pengambilan sama pada 2005 mempunyai pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT).
“Malah, allahyarham tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan memberikan tunjuk ajar kepada rakan sekerja, khususnya kakitangan lebih muda.
“Semangat kerja, sikap suka membantu serta kesediaan allahyarham membimbing rakan sekerja menjadi kenangan manis yang akan terus dihargai warga TAWAUfm,” katanya.
Allahyarham Abdullah meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.