fb fb fb fb fb

Penyambungan air tidak sah dikesan di tapak pembinaan pusat logistik

Foto RTM

SHAH ALAM, 27 November - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menemui penyambungan air secara tidak sah di salah sebuah tapak pembinaan pusat logistik.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, operasi secara mengejut dilakukan selepas mendapat aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Beliau berkata, menerusi Operasi Penguatkuasaan Cegah Sambungan Haram yang dilakukan, pihaknya mendapati terdapat satu sambungan dengan menggunakan paip berukuran 32 milimeter secara terus kepada paip utama Air Selangor.

"Pemerhatian yang kita buat mendapati sambungan itu dibuat tanpa menggunakan meter yang berdaftar dengan syarikat Air Selangor," katanya kepada media selepas operasi yang dijalankan oleh SPAN, pagi tadi.

Dalam pada itu, terdapat dua sambungan yang juga menggunakan paip HDPE, berukuran 25mm kepada tetiang meter air lama.

Bekalan air dari sambungan tersebut yang disyaki tidak sah itu, disalurkan ke premis tapak pembinaan dan digunakan untuk aktiviti harian pihak tidak bertanggungjawab.

Siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak SPAN berkaitan kesalahan yang telah dilakukan bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Trainee2