HULU TERENGGANU, 27 November- Ops Murni Angkatan Tentera Malaysia digerakkan bagi membantu penduduk terjejas banjir di Terengganu.
RTM berkesempatan bersama Batalion Ke 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA) Kem Seri Pantai Kuala Nerus ke daerah Hulu Terengganu.
Operasi diketuai Pegawai Memerintah Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abd Aziz bersama tiga pegawai serta 35 anggota lain-lain pangkat.
Di Kampung Kepah Hulu Terengganu, pasukan penyelamat membantu membawa keluar satu keluarga yang terperangkap akibat kediaman yang dinaiki air sedalam 1.5 meter.
Dalam Ops Murni kali ini juga, pasukan perubatan dari pasukan sama turut melaksanakan pemeriksaan kesihatan di kediaman sekitar Kampung Kepah.
Setakat 6.00 petang, seramai 316 penduduk terjejas banjir berada di 15 PPS di daerah Hulu Terengganu.