fb fb fb fb fb

Banjir: Cuti semua anggota bomba di dua BBP Besut ditarik balik

JBPM

BESUT, 27 November- Semua cuti anggota bomba di dua balai di daerah ini ditarik balik bermula hari ini susulan peningkatan paras air yang berlaku secara berperingkat sejak malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata pada awalnya, 20 peratus anggota dibenarkan bercuti semasa musim tengkujuh.

Walaubagaimanapun, dengan keadaan banjir yang semakin buruk, semua cuti anggota bomba dibekukan bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat, manakala bagi anggota yang terkandas akibat banjir, logistik sedia ada akan digunakan bagi membolehkan mereka bertugas seperti dijadualkan.

"Di kawasan Besut, kami melihat laluan utama terjejas iaitu jalan dari Kelantan ke Terengganu. Laluan di sebelah kiri masih boleh dilalui namun jalan dari Terengganu ke Kelantan telah dinaiki air menyebabkan laluan tersebut diubah menjadi satu hala.

"Terdapat juga penduduk memecahkan penghadang jalan bagi membolehkan air mengalir dengan lancar," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi menyelamat di Kampung Padang di sini hari ini.

Pasukan gerak cepat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota serta BBP Kemaman telah digerakkan untuk membantu kawasan terjejas.

SITI AISHAH MD ISA