KUALA LUMPUR, 27 November- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan membina lebih banyak perumahan mampu milik untuk penjawat awam berharga di bawah RM250,000.
Ini bagi membantu golongan berkenaan terutama mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat yakin faktor utama 52.95 peratus daripada 1.3 juta penjawat awam masih belum memiliki rumah sendiri disebabkan harga yang mahal.
"Ini kerana, kebanyakan penjawat awam perlu menyewa dengan kadar sekitar RM800 hingga RM1,200 sebulan, terutama di bandar besar.
"Peningkatan kos sara hidup hingga mengakibatkan pendapatan boleh guna semakin mengecil turut menyumbang kepada ketidakmampuan penjawat awam memiliki rumah," katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menyarankan agar syarat permohonan pemilikan rumah mampu milik untuk penjawat awam juga wajar dipermudah.
Selain kerajaan perlu mengkaji semula kadar faedah pembiayaan perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam sebanyak empat peratus yang dilihat masih tinggi.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Pusat Informasi Hartanah Negara, harga rumah di Malaysia dilaporkan meningkat hampir 100 peratus dari 2010 hingga 2020.