fb fb fb fb fb

Penutupan pintu pagar balai polis, tidak jejas perkhidmatan kepada masyarakat - Saifuddin

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Penutupan pintu pagar balai polis pada pukul 10.00 malam, tidak akan menjejaskan proses perkhidmatan pihak berkuasa kepada masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penutupan pintu itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman.

Tambah beliau, sekiranya terdapat sebarang laporan polis yang ingin dilakukan oleh masyarakat, ia masih terbuka dan tiada halangan.

Beliau mengkritik sesetengah pihak yang menyalahtafsirkan kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa ia adalah tanggungjawab utama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

Langkah itu diambil ekoran insiden 17 Mei lepas, yang menyaksikan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Sementara itu, perkara sama turut disuarakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Penyampaian perkhidmatan PDRM kekal berjalan seperti biasa, walaupun terdapat arahan penutupan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas pukul 10.00 malam.

Beliau berkata arahan kepada semua balai itu akan dilaksanakan selepas prosedur operasi standard (SOP) mengenainya dibentangkan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Kassim.

"Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kita seharusnya mengimbangi bahawa balai polis adalah tempat rakyat mengadu dan pada masa sama balai polis turut menjadi sasaran ancaman, jadi kita seimbangkan antara dua keperluan itu," katany.

Razarudin berkata pelaksanaan arahan agar pintu pagar balai ditutup selepas 10.00 malam setakat ini melibatkan balai di kawasan terpencil dan luar bandar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM