
KUALA TERENGGANU, 21 Jun -Pengguna kenderaan diesel di Terengganu menyambut baik keputusan kerajaan menyelaraskan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bermula 1 Julai ini yang disifatkan mampu mengurangkan beban kos bahan api serta membantu mengimbangi perbelanjaan harian mereka.
- Pengguna diesel lega; pengumuman harga kurangkan beban kos bahan api untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.
- Ramai berterima kasih, dapat alihkan perbelanjaan minyak ke belanja dapur dan susun semula belanjawan isi rumah.
- Sesetengah pengguna anggarkan penjimatan sekitar RM200 hingga RM300 seminggu, ringankan tekanan kos hidup.
- Rakyat berharap subsidi bersasar melalui pengesahan MyKad berjalan lancar dan penyelarasan harga melibatkan seluruh negara.
Bagi golongan yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan diesel untuk urusan harian dan perjalanan jarak jauh, kos bahan api merupakan antara komitmen bulanan terbesar mereka sebelum ini.
Seorang pengguna, Mohd Rusmizan Johari berkata, penyelarasan harga itu menguntungkan rakyat dan memberi kelegaan khususnya dalam mengatur kembali perbelanjaan isi rumah.
“Hari-hari boleh kata kita pakai diesel, tapi apabila kerajaan umum dengan harga penurunan mulai 1 Julai, Alhamdulillah saya sangat gembira. Saya sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana dengan pengumuman ini.
“Dapatlah perbelanjaan untuk minyak diesel itu kita alihkan sedikit untuk belanja dapur,” katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.
Bagi Muhammad Rafi Kori pula, penyelarasan harga kepada RM2.10 seliter itu dilihat seolah-olah mengembalikan semula kadar harga bahan api tersebut ke paras asal, sekali gus memberi penjimatan kepada perbelanjaan.
“Saya sangat gembira sebab setiap hari guna diesel, jadi saya rasa harga yang diumumkan ini boleh kata kembali pada asal. Kita boleh jimat lebih kurang RM200 hingga RM300 seminggu. Semoga ini memberi manfaat kepada ekonomi di Terengganu ini sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Mohd Ridwan Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan atas pengumuman terbaharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggapnya hadir pada waktu yang tepat bagi meringankan beban kewangan masyarakat.
Dalam pada itu, rata-rata pengguna di negeri ini turut berharap agar pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar yang menggunakan pengesahan MyKad dapat berjalan dengan lancar dan teratur, bagi memastikan hanya golongan warganegara yang benar-benar layak sahaja menerima manfaat berkenaan.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan harga diesel bersubsidi di Semenanjung akan diselaraskan kepada RM2.10 seliter menerusi kaedah bersasar, manakala penyelarasan itu turut melibatkan Sabah, Sarawak, dan Labuan yang sebelum ini menikmati struktur harga runcit berbeza.