
PASIR GUDANG, 21 Jun – Kerajaan Persekutuan berpandukan undang-undang bertulis serta Perlembagaan Persekutuan dalam urusan berkaitan pemberian kewangan kepada negeri-negeri.
- Perkara 109(1) menetapkan pemberian ikut kepala tahunan kepada setiap negeri mengikut Bahagian I Jadual Kesepuluh.
- Perkara 110(1) memberikan hak kepada negeri atas hasil cukai, fi dan sumber lain sebagaimana dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh.
- Perlembagaan menyediakan mekanisme merujuk pertikaian pemberian kewangan negeri kepada Majlis Kewangan Negara untuk semakan.
- Perkara 108(4) mewajibkan rundingan dengan Majlis Kewangan Negara; kerajaan negeri boleh membawa isu kewangan mengikut saluran perlembagaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dalam kenyataan memaklumkan, Kerajaan MADANI yang mentadbir negara ketika ini berlandaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada semua negeri termasuk Johor.
“Perkara 109(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan hendaklah memberi kepada setiap negeri pada setiap tahun kewangan satu pemberian yang dikenali sebagai pemberian ikut kepala berdasarkan Bahagian I Jadual Kesepuluh.
“Perkara 110(1) pula menetapkan bahawa setiap negeri berhak menerima hasil daripada cukai, fi dan sumber hasil lain seperti yang dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya terdapat mana-mana kerajaan negeri yang tidak berpuas hati terhadap pemberian yang diterima, Perlembagaan Persekutuan telah menyediakan mekanisme undang-undang untuk perkara tersebut dirujuk kepada Majlis Kewangan Negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menerusi Perkara 108(4), Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab untuk berunding dengan Majlis Kewangan Negara berhubung pemberian yang disalurkan kepada negeri-negeri.
Sehubungan itu, mana-mana kerajaan yang bakal dibentuk di Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai 2026 boleh membawa sebarang isu berkaitan pemberian kewangan Persekutuan yang dipertikaikan kepada Majlis Kewangan Negara untuk dibincangkan mengikut saluran yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Segala isu berkaitan hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu ditangani menerusi mekanisme yang telah ditetapkan dalam undang-undang negara.