fb fb fb fb fb

Penuntut GiatMARA maut rempuh MPV

(Mayat mangsa (kiri) dan motor yang ditunggangnya (kanan) di lokasi kejadian)

HULU TERENGGANU, 8 Jun- Seorang penuntut GiatMARA Telemong, Hulu Terengganu maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
 
Kejadian berlaku di Jalan Sultan Mahmud berhadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kira-kira pukul 12.40 malam Selasa.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, mangsa maut, Muhammad Araf Farhim, 16, bersama beberapa rakannya menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam.
 
Mangsa dilaporkan sempat melawat bapanya yang baru menjalani pembedahan potong kaki akibat kencing manis dan ibunya pula dirawat kerana menghidap kanser usus di hospital yang sama.
 
Hasil siasatan awal, setiba di lokasi kejadian, Muhammad Araf hilang kawalan untuk memberhentikan motosikalnya lalu merempuh kenderaan dari arah belakang sebelum tercampak ke atas jalan raya.
 
Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
 
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
 
Kes di siasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

(Kenderaan MPV yang dirempuh mangsa)

Media Baharu