fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal wanita ditahan pamer nombor pendaftaran pikap

KANGAR, 22 Januari- Seorang wanita ditahan dalam Operasi Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis petang semalam kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Pengarah JPJ Negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, wanita berusia 20-an itu juga mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain pada motosikalnya.

"Hasil siasatan lanjut, pihak JPJ Perlis berjaya mengesan nombor pendaftaran asal motosikal tersebut dan wanita berkenaan mengaku menggunakan nombor pendaftaran kenderaan jenis pikap pada motosikalnya.

Tindakan wanita tersebut yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain pada motosikalnya menyebabkan pihak JPJ Perlis menyita motosikal kepunyaan wanita tersebut," katanya.

(Pihak berkuasa menahan penunggang motosikal yang melakukan
kesalahan dalam operasi di sekitar Perlis)

Tambah beliau, sepanjang Operasi Khas Tahun Baru Cina yang bermula 18 Januari lalu, JPJ Perlis telah menyita 17 buah motosikal bagi kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Media Baharu