fb fb fb fb fb

NRECC adakan mesyuarat berhubung PLSB Sungai Golok minggu depan

(FOTO BERNAMA)

PASIR MAS, 22 Januari - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan mengadakan mesyuarat berhubung Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, minggu depan.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kesemua agensi terlibat termasuk kerajaan negeri akan mengatur tindakan jangka pendek bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara.

(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan)
menyampaikan ucapan sewaktu hadir pada Perjumpaan Bersama Penduduk Terkesan
Banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, semalam / FOTO BERNAMA)

"Saya akan beri perhatian terhadap kebimbangan penduduk yang berulang kali mengalami kesusahan setelah dakwaan banjir berlaku akibat pembinaan benteng PLSB tersebut.

"Sebarang keputusan dalam mesyuarat akan dimaklumkan nanti termasuk berkaitan peruntukan khas sekiranya ada turut dibincang sama," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli jawatankuasa bertindak banjir dan mangsa banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan hampir 100,000 penduduk daripada 62 kampung di Rantau Panjang, di sini kecewa dengan pembinaan projek PLSB Sungai Golok yang dianggap gagal.

Nik Nazmil berkata desakan penduduk yang mahu agar diperbanyakkan pembinaan pintu air pada benteng terbabit juga akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

"Perbincangan ini perlu kerana kita tidak mahu penduduk kampung menjadi mangsa ketika projek ini dalam pembinaan, Insya-Allah akan ada tindakan segera diambil oleh agensi berkaitan kerana kita tidak mahu kejadian banjir berulang," katanya.-BERNAMA

Media Baharu