fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal tiga roda terbabas masuk gaung

(Foto FB Korporat JBPM)

TAWAU, 6 Februari- Seorang lelaki yang menunggang motosikal beroda tiga cedera selepas terbabas sendiri ke dalam gaung sedalam 10 kaki di Kampung Tanjong Batu Darat Jalan Imam Galundang, di sini, semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu menerusi talian MERS999 pada pukul 2.16 petang.

Susulan itu, lapan anggota menaiki sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Rosliee Suyut berkata, sebaik tiba, anggota bomba mendapati seorang lelaki dewasa berusia 36 tahun yang menunggang motosikal itu mengalami kecederaan terseliuh kaki.

"Mangsa yang mempunyai berat badan 140 kilogram diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di tempat kejadian.

"Mangsa kemudian dibawa naik ke bahu jalan menggunakan pengusung sebelum dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dirawat lanjut," katanya menerusi kenyataan.

Operasi ditamatkan pada pukul 2.43 petang.

(Foto FB Korporat JBPM)

Media Baharu