IPOH, 23 Ogos – Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak ke tepi sungai dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Taman Desa Meru, Meru Raya, di sini tengah hari tadi.
Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.22 tengah hari.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan kerja-kerja penyelamatan dan rawatan awal.
Mangsa, Mohamad Norzaihasmin Zainordin, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala tiga lagi mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Kemalangan tersebut membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta, iaitu Perodua Myvi yang dinaiki seorang wanita bersama seorang wanita warga emas, serta Perodua Kelisa yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.