fb fb fb fb fb

Amaran keras terhadap penjualan video lucah di media sosial

Tindakan undang-undang terhadap individu terlibat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penjualan rakaman video lucah di platform media sosial.

Menurut beliau, pindaan terkini Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang terlibat dalam kesalahan tersebut.

“Jadi, kepada mana-mana pihak yang membuat percubaan seperti ini, saya memberi amaran keras bahawa tindakan boleh diambil,” katanya pada sidang media sempena pelancaran program Denyut Nadi Merdeka di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung seorang individu yang didakwa merancang untuk menjual video lucah melalui platform Telegram.

Datuk Fahmi turut mengesahkan bahawa beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan individu yang terlibat.

“Bagi tindakan penguatkuasaan, kita serahkan kepada pihak PDRM,” katanya.

HASRON BIN HASSAN