KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Para peserta program Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya serta mengendalikan kenderaan dengan cara yang beretika dan selamat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan keprihatinannya terhadap penganjuran himpunan itu yang bukan sahaja popular, malah telah memasuki edisi ketujuh.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan sumbangan bagi menjayakan acara berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha penganjur.
"Pada masa sama, pergerakan mereka yang ingin hadir ke acara tersebut menjadi satu perkara yang kita ambil maklum, semestinya kita nak mereka bergerak dengan selamat dan kembali dengan selamat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran kempen 'Denyut Nadi Merdeka' di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni di sini, hari ini
Terdahulu, sebanyak empat kes kematian dilaporkan melibatkan peserta himpunan tersebut akibat nahas di empat lokasi berbeza di Perak, Terengganu dan Pahang semalam.