fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal maut, kereta rempuh pembahagi jalan

Kereta yang dipandu warga Singapura, melanggar pembahagi jalan, sehingga menyebabkan besi penghadang memasuki laluan bertentangan

ISKANDAR PUTERI, 10 Mei- Seorang penunggang motosikal berumur 31 tahun, maut selepas terlibat kemalangan di Kilometer 0.6 Link Kedua, Iskandar Puteri, Johor, pada pukul 7.00 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan berkata, kemalangan berpunca daripada sebuah kereta mewah dipandu warga Singapura, melanggar pembahagi jalan, sehingga menyebabkan besi penghadang memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa (1), lelaki warga tempatan yang menunggang motosikal jenis Honda RS berwarna kuning melanggar besi penghadang jalan tersebut hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke bahu jalan dan meninggal di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kiri", katanya menerusi satu kenyataan.

"Kotak simpanan motosikal (box) milik mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal jenis Yamaha MT-09 warna ungu dan jenis Yamaha Xmax 250 warna kelabu. Kedua-dua penunggang motosikal tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Situasi di lokasi kejadian menjadi kecoh dan pemandu warga singapura terlibat, telah diserang dan dipukul menggunakan helmet oleh pengguna jalan raya lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ROSLINA BINTI DIN