JAKARTA, 10 Mei- Negara-negara Asia Tenggara menegaskan hasrat untuk melibatkan Amerika Syarikat (AS) dalam dialog yang membina bagi menangani kebimbangan berkaitan perdagangan dan mengekalkan hubungan perdagangan yang teguh dan saling bermanfaat, menurut Sekretariat ASEAN.
Sebagai menghargai hubungan perdagangan dan pelaburan yang erat, blok serantau itu menyatakan komitmen untuk meneroka peluang kerjasama selanjutnya dengan Washington melalui platform ekonomi sedia ada dan libat sama peringkat tinggi bagi mencari penyelesaian yang dapat diterima bersama.
“Ini termasuk memanfaatkan mekanisme seperti Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS serta perbincangan yang sedang dilaksanakan antara Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Wakil Perdagangan AS,” kata Sekretariat ASEAN dalam kenyataan.
Perkara ini adalah antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Bersama ASEAN-AS ke-16 yang dipengerusikan bersama oleh Wakil Tetap Kemboja ke ASEAN Heng Sarith dan Kuasa Usaha Sementara bagi misi AS ke ASEAN Kate Rebholz di ibu pejabat ASEAN pada Jumaat.
Kedua-dua pihak mengesahkan komitmen bersama untuk memperteguh Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-AS dan menyambut baik sokongan berterusan AS terhadap usaha pembinaan komuniti ASEAN, Kepusatan ASEAN serta menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini melalui mekanisme yang diterajui oleh ASEAN.
Menurut Sekretariat ASEAN, mesyuarat ini turut menyokong cadangan AS mengenai kenyataan visi bersama pemimpin ASEAN-AS yang akan menjadi panduan kepada kerjasama ini selepas 2025.
Turut ditekankan adalah kerjasama pada masa akan datang dalam bidang penting antaranya pertahanan, jenayah transnasional, kerjasama maritim, tindakan kemanusiaan berkaitan periuk api, kecerdasan buatan, perubahan iklim, pendidikan, kesihatan awam, biodiversiti, tenaga, kesiapsiagaan bencana, dan pertukaran antara rakyat.
Sementara itu, Sekretariat ASEAN berkata AS sekali lagi mengulangi komitmen terhadap ASEAN, dengan menekankan peranan penting rantau ini dalam struktur serantau yang lebih menyeluruh dan membentuk dinamik serantau.
Perbincangan turut merangkumi isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama termasuk Laut China Selatan, Semenanjung Korea, Timur Tengah dan Ukraine.
Sekretariat ASEAN berkata kedua-dua pihak menyatakan hasrat untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran baharu serta menggalakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.- BERNAMA