KOTA BELUD, 10 Mei - Industri padi dan beras terus diberi keutamaan bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan kebajikan pesawah di Sabah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Sabah masih mencatat Kadar Sara Diri (SSR) beras yang rendah iaitu 22.4 peratus berbanding kadar nasional 56.2 peratus, walaupun 34 peratus pengeluaran disumbang Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud.
"SSR di seluruh negeri Sabah adalah sebanyak 22.4 peratus. Kota Belud menyumbang sebanyak 34 peratus kepada SSR yang ada di Sabah sekarang. Tapi kita masih ada banyak, hampir separuh yang belum dibangunkan dan sekiranya kita dapat membangunkan tambahan 2,000 hektar itu kita dapat meningkatkan lagi 10 peratus SSR kita, mudah-mudahan,"
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perasmian Majlis Pelancaran Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) dan Skim Takaful Penanaman Padi (STTP) di sini.
Menurut Datuk Arthur, RM15 juta telah diperuntukkan melalui RMKe-11 dan RMKe-12 bagi pembangunan 8, 500 hektar sawah padi di Kota Belud, melibatkan lebih 5, 700 pesawah.
Usaha tersebut berjaya meningkatkan hasil purata kepada 4.2 tan metrik sehektar serta meningkatkan pendapatan pesawah hampir 50 peratus.
Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan RM346.1 juta untuk membangunkan sistem pengairan melibatkan 11 pakej pembangunan.
Projek itu dijangka membolehkan 5 ribu hektar sawah ditanam sebanyak dua kali setahun serta meningkatkan kecekapan saliran dan bekalan air.