fb fb fb fb fb

Konflik Pakistan-India tidak jejaskan bekalan beras negara- Mohamad Sabu

Foto BERNAMA

SEMPORNA, 10 Mei- Bekalan beras import dari India tidak terjejas akibat konflik antara Pakistan dan India.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, bekalan beras dari negara berkenaan masih stabil.

Bagaimanapun beliau berkata, sebagai persedian, negara perlu terus berusaha menambah bekalan beras negara bagi keterjaminan makanan pada masa hadapan.

Katanya, Sabah dan Sarawak berpotensi besar sebagai pengeluar beras negara.

"Kita mesti berusaha keras untuk mencukupkan bekalan beras negara. Ada upaya itu. Sabah mempunyai tanah yang luas, namun aspek infrastrukturnya dan sistem pengairannya perlu dipertingkatkan.

"Sarawak juga memiliki tanah yang luas dengan cabaran infrastruktur dan pengairan yang serupa.Jika Indonesia boleh mencukupkan bekalan beras mereka, maka menjadi cabaran kepada kita untuk turut berusaha mencapai tahap yang sama," katanya.

Datuk Seri Mohamad ditemui RTM pada Program Ramah Mesra MADANI Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama nelayan di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa beliau akan bersama Perdana Menteri ke Rusia bagi membincangkan hal-hal berkaitan pertanian, termasuk keadaan cuaca yang sering tidak menentu sehingga boleh menjejaskan sektor tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM