JOHOR BAHRU, 10 Mei - Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) akan dinaik taraf secara berperingkat bermula hujung bulan ini dengan dilengkapi kemudahan moden termasuk penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata, penambahbaikan itu melibatkan peruntukkan sebanyak RM30 juta yang mampu menjadikannya sebagai sekolah pintar, di negeri itu.
Beliau berkata, bahawa sumbangan para pelabur memainkan peranan penting dalam merealisasikan inisiatif tersebut.
"Kita berterima kasih juga kepada semua pelabur yang sangat menghargai program kita ini. Mereka melabur dan memberikan sumbangan kepada negeri Johor untuk pendidikan. Jadi keseluruhannya hampir RM30 juta bagi keempat-empat sekolah ini dan kita akan gunakan bagi memastikan SRBJ ini berjalan lancar," katanya.
Aznan ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama warga pendidik dan ibu bapa SRBJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara, di sini.
Dalam pada itu, peperiksaan Primary School Leaving Examination (PSLE) dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bakal dijadikan penanda aras kepada 2,496 murid dan pelajar SRBJ, bagi meningkatkan mutu pendidikan.
Kira-kira 40 guru juga dihantar ke Institut Pendidikan Negara (NIA) di Singapura secara berperingkat, setiap bulan.