fb fb fb fb fb

Penumpang KTM Komuter Lembah Klang nikmati tambang percuma sempena Thaipusam

Tambang percuma kepada semua penumpang KTM Komuter di Lembah Klang akan diberikan pada 24 dan 25 Januari ini / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Sempena perayaan Thaipusam, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memberikan tambang percuma kepada semua penumpang KTM Komuter di Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tambang percuma itu akan dikenakan semasa penumpang membuat imbasan masuk dan keluar di pintu automatik (ACG) stesen destinasi dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, selain inisiatif itu, perkhidmatan KTM Komuter tambahan turut akan beroperasi tanpa henti selama empat hari bermula 23 sehingga 26 Jan, dengan 28 stesen beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut berbanding 26 stesen pada tahun lepas.

"Kami menjangkakan seramai 250,000 orang akan menggunakan perkhidmatan komuter di Lembah Klang sepanjang tempoh empat hari tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Hari Thaipusam pada 25 Januari," katanya pada sidang media di Stesen KTM Batu Caves, di sini.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata pihak Rapid Bus akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 24 dan 25 Januari di tiga laluan di Kuala Lumpur iaitu BC02 (Hab Bandar Pasar Seni - Batu Caves), BC03 (Stesen LRT Gombak – Batu Caves) dan BC04 (Stesen MRT Kg Batu – Batu Caves), serta satu laluan di Pulau Pinang iaitu ST01 (Jetty – Adventist).

"Terdapat tiga perkhidmatan bas di Kuala Lumpur dan lima di Pulau Pinang yang akan melalui kawasan di mana acara sambutan Hari Thaipusam akan dijalankan. Maklumat mengenai laluan tersebut boleh diperoleh dengan melayari laman web myrapid.com.my,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN