fb fb fb fb fb

Penumpang berhak tuntut pampasan penerbangan dijadual semula

(Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Para penumpang yang mengalami isu penerbangan tertunda atau dijadual semula berhak menuntut pampasan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi seperti dirancang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mengambil maklum mengenai rungutan, aduan dan keluhan disuarakan pengguna berhubung kelewatan penerbangan AirAsia, membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.

"Pihak kementerian akan terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna, selain bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi merungkai permasalahan ini demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang," katanya.

Dalam rajutan di Twitter beliau, Nanta turut mengepilkan beberapa aduan dan rungutan pengguna yang tidak berpuas hati dengan penjadualan semula penerbangan AirAsia yang disiarkan melalui media sosial.

Katanya, pampasan yang berhak dituntut merangkumi makanan, panggilan telefon dan akses internet bagi penangguhan selama dua jam atau lebih, penginapan hotel dan pengangkutan untuk penangguhan selama lima jam atau lebih, pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif sekiranya penerbangan dibatalkan.

"Bagaimanapun, satu-satunya pengecualian pampasan patut diberikan apabila berlaku keadaan luar biasa yang mendatangkan risiko keselamatan atau cuaca ekstrim yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkakannya.


(KPDNHEP melakukan siasatan terhadap dakwaan AirAsia menunda dan menjadualkan semula
penerbangan sehingga menimbulkan rungutan ramai pengguna)


"Justeru, sekiranya pengguna perkhidmatan penerbangan berpendapat tidak mendapat pampasan sewajarnya, boleh kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan sebelum menghubungi MAVCOM," katanya dalam satu ciapan di Twitternya.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata demikian bagi mengulas isu penundaan dan penjadualan semula penerbangan oleh syarikat penerbangan Air Asia yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Media Baharu