fb fb fb fb fb

Malaysia-Perancis sepakat perkukuhkan institusi parlimen

KUALA LUMPUR, 9 Mei - Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menerima kunjungan hormat Delegasi Senator Perancis di bangunan Parlimen hari ini.

Delegasi seramai enam orang itu diketuai oleh Presiden Kumpulan Persahabatan Antara Parlimen Perancis-Asia Tenggara, Mathieu Darnaud.

Tan Sri Dr Rais berkata pada kunjungan itu kedua pihak bersetuju bagi memperkukuhkan institusi parlimen di negara masing-masing.

Parlimen dilihat mampu memainkan peranan bagi kepentingan demokrasi dan seterusnya diterjemahkan bagi memastikan rakyat berada dalam kehidupan yang sempurna.


(Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim bercakap pada sidang media selepas menerima 
kunjungan hormat Delegasi Senator Perancis di bangunan Parlimen)

"Telah dibincangkan hal-hal berhubung kepentingan parlimen sebagai institusi yang memberi perundangan serta keadilan kepada kedua dua negara. Pertama dibincangkan kepentingan demokrasi, bagaimana demokrasi boleh diterjemahkan kepada kehidupan yang sempurna manusia dan mengambil kira bahawa negara Perancis adalah negara yang memulakan demokrasi yang tulen pada tahun 1778," kata beliau selepas menerima kunjungan hormat tersebut.

Selain itu, kedua-kedua pemimpin mengambil peluang berbincang isu hubungan dua hala kedua negara terutama dalam bidang ekonomi dan perdagangan selain merapatkan lagi hubungan yang sedia terjalin.

Turut sama menerima kunjungan itu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Media Baharu