fb fb fb fb fb

Penularan pantas subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 cetus kebimbangan

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Penularan pantas subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 berupaya mencetuskan situasi lebih buruk dengan kebimbangan peningkatan ketara kes harian COVID-19 dalam negara.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata dengan lonjakan kes harian semasa rakyat sepatutnya lebih berwaspada dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

"Ambillah vaksin, vaksin kedua dan bagi mereka yang dah ambil vaksin kedua, ambillah booster ataupun dos penggalak.

"Hari ini kita ada juga dos penggalak kedua, siapa yang patut ambil dos penggalak kedua, mereka berumur 50 tahun ke atas dan comorbid, mereka yang ada penyakit kronik.

"Mereka lebih 18 tahun hingga 69 tahun tetapi mempunyai penyakit, comorbid perlu ambil," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Kongres Dwitahunan Persatuan Pakar Bedah Endoskopik dan Laparoskopik Malaysia (SELSMA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kongres SELSMA 2022, Dr Satkunan Mark dan Presiden SELSMA, Dr Vimal K Vasudeavan.

(Dr Noor Azmi Ghazali)

Tambah Noor Azmi, kanak-kanak amat digalakkan untuk mengambil vaksin memandangkan peratusannya masih rendah iaitu 50% sahaja setakat ini.

Selain itu, golongan remaja juga disaran untuk mengambil suntikan dos ketiga atau dos tambahan bagi meningkatkan dan memperkukuhkan imuniti dalam badan.

Terbaharu, trend peningkatan kini mencecah 5,000 kes dan penambahan kes dirujuk ke Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Media Baharu