fb fb fb fb fb

10,572 perniagaan berjaya didaftarkan menerusi SPPP

SELAYANG, 29 Julai- Sebanyak 10,572 perniagaan berjaya didaftarkan secara percuma sejak Januari hingga Jun lalu menerusi Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP).

Jumlah itu dijangka meningkat hasil jalinan kerjasama strategik antara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan FAMA.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata menerusi kerjasama itu pihaknya akan menawarkan SPPP kepada golongan usahawan B40 di bawah seliaan FAMA dengan membantu mendaftarkan perniagaan mereka secara sah.

Menurutnya, ia titik permulaan bagi peniaga atau usahawan untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

"Dengan pendaftaran di SSM ini akan ada banyak manfaat kepada usahawan, mereka boleh mendapatkan terutama sekali dana.

"Mereka boleh mendapatkan pinjaman bagi membantu pembangunan perniagaan dan banyak agensi-agensi memberikan dana latihan bagi usahawan dan peniaga yang bahau berdaftar," katanya.

(Nor Azimah Abdul Aziz)

Beliau menyatakan demikian kepada media pada Majlis Kerjasama Strategik Pendigitalan FAMA dan SSM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nor Azimah berkata SSM menggalakkan pengaplikasian Kod QR SSM Biz Trust ke atas usahawan yang berdaftar di bawah platform Agrobazaar Online (ABO).

Menerusi aplikasi data dan maklumat SSM, Platform Agrobazaar turut berfungsi sebagai medium untuk tujuan pemasaran dan menyebar luas perkhidmatan serta penjualan produk.

Media Baharu