fb fb fb fb fb

Penubuhan unit khas teliti kes berkaitan 3R dikaji

(FOTO BERNAMA)

BANGI, 13 Julai- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes-kes berkaitan dengan isu 3R (raja, agama dan kaum).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut menegaskan kerajaan tidak akan bertoleransi dengan pihak yang sering kali memainkan isu 3R bagi meraih sokongan rakyat.

"Saya percaya MCMC dan PDRM akan menilai keperluan untuk menubuhkan satu unit khas berdasarkan data 'Center to Journalism' dalam PRU15 lepas.

"Sebilangan besar kandungan 3R yang dibuat dalam tempoh singkat adalah amat membimbangkan dan politik terdesak seperti ini tidak boleh dibiarkan berterusan," kata Fahmi kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM) 2023 di sini.

Fahmi turut meluahkan rasa kecewa berikutan tindakan segelintir ahli politik menggunakan bahan 3R dalam kempen mereka, walaupun Raja-raja Melayu telah bertitah supaya tidak berbuat demikian.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain juga telah mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada sensitiviti 3R semasa tempoh berkempen untuk pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri akan datang.

GLOCOM 2023 merupakan inisiatif Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk melaksanakan perkongsian strategik dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi mengukuhkan peranan IPPTAR sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan bagi anggota perkhidmatan dalam sektor komunikasi.

Persidangan dengan tema 'Cultivating Knowledge for the Future Communication' itu diselaraskan dengan prinsip dan matlamat konsep MADANI dalam mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan maju dengan menerima perubahan, menggabungkan pelbagai perspektif dan melaksanakan pembaharuan substantif menerusi kerjasama akademik dalam industri komunikasi.

GLOCOM 2023 berlangsung selama tiga hari dari 12 hingga 14 Julai secara hibrid.

(Fahmi berucap di Majlis Persidangan Komunikasi Global, Budaya dan
Media Kontemporari (GLOCOM) 2023/BERNAMA)

Media Baharu