PUTRAJAYA, 13 Julai - Sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi memperkukuh kelengkapan penguatkuasaan negara tahun ini.
Itu antara beberapa inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain penambahbaikan Elaun Pakaian Seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta kajian bagi memperkasa organisasi dan menambah baik laluan kerjaya kepada Pegawai dan Anggota Skim Penguat Kuasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican menyegerakan penyaluran peruntukan RM100 juta itu kepada agensi penguatkuasaan selewat-lewatnya akhir minggu depan.
"Saya setuju dalam enam bulan ini, peruntukan RM100 juta untuk bantu mereka lengkapkan keperluan di jabatan. KSP segerakan, harap peruntukan diterima selewatnya akhir minggu depan. Akhir minggu depan iaitu Jumaat depan peruntukan sampai ke semua jabatan. Kalau tidak sampai lapor kepada saya," kata Anwar, di sini.
(Anwar berucap pada Program Cakna MADANI bersama-sama
Agensi Penguatkuasaan yang dihadiri 2,400 anggota)
Anwar berkata Elaun Pakaian Seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) ditambah baik kepada kaedah bekalan Kemudahan Pakaian Seragam di enam agensi dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun.
Enam agensi terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Penjara Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Jumlah elaun ini kadang diberikan tidak setimpal dan ada yang kena tampung wang sendiri," katanya.
Anwar berkata kerajaan pimpinannya sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kebajikan anggota penguat kuasa yang bertugas untuk negara.
"Beberapa sesi mesyuarat, hal ni (kebajikan dan keselamatan) dibangkitkan apabila kita lihat tindakan seperti APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan Jabatan Imigresen di sempadan hadapi risiko tugas dan tekanan.
Kawasan perbatasan kemudahan sangat daif… ini semua diberi perhatian (oleh kerajaan)," katanya yang turut menegaskan tindakan susulan akan diambil.
Anwar berkata beliau juga akan mengumumkan berita gembira khusus melibatkan aspek perumahan untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Petani pada Sabtu ini.
Beliau berkata usaha bagi menjaga kebajikan anggota penguatkuasaan lain seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kastam dan lain-lain akan diteliti olehnya dalam masa terdekat.