KUALA LUMPUR, 28 Disember - Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, sebagai Menteri Besar Perlis baharu wajar dilihat secara progresif serta selaras kuasa Raja Perlis di bawah Undang-Undang Tubuh negeri.
Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata pelantikan itu bertujuan memastikan kestabilan pentadbiran serta memacu kecemerlangan Perlis.
Menurut beliau, langkah berkenaan dapat mengelakkan ketidaktentuan berpanjangan dan menjamin kelangsungan tadbir urus negeri yang berkesan demi kepentingan rakyat.
“Cabaran utama memastikan Menteri Besar baharu mampu mengemudi pentadbiran dan merangkul semua pihak agar mengetepikan perbezaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya kepada RTM, hari ini.
Beliau menambah, penyelesaian secara berhemah serta berlandaskan perlembagaan penting bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar.
Terdahulu, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 1,254 undi.