SHAH ALAM, 9 Januari - Situasi banjir yang berlaku di Selangor baru-baru ini sememangnya sesuatu yang tidak diduga sama sekali.
Banyak pengalaman dan iktibar yang boleh diambil pelbagai pihak bagi mengurangkan risiko pada masa akan datang.
Bukan sahaja berhubung sistem amaran awal bencana, malah rakyat juga perlu sentiasa berwaspada dan patuh arahan pihak berkuasa.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata mereka tidak mendengar sebarang bunyi pada hari kejadian.
Salah seorang penduduk, Syahrul Nizam Kamarul, panik dengan kenaikan air hujan secara mendadak luar jangkaan.
"Ketika banjir, memang air naik mendadak, dan kami tidak mendengar bunyi siren," katanya kepada RTM pada Jumaat.
Manakala Khairul Anuar Abdul Latiff berpendapat, agar amaran disampaikan dalam pelbagai cara.
"Siren mungkin boleh guna bahasa (suara) seperti hebahan melalui kenderaan unit bergerak agar tidak terkeliru dengan bunyi siren kecemasan yang lain".
Alvin Ong Kok Beng pula berkata, dengan adanya kepelbagaian hebahan amaran, sekurang-kurang penduduk dalam keadaan bersedia.
"Memang baguslah kalau ada isyarat seperti itu, walaupun banyak barang tidak boleh diselamatkan tapi mungkin sempat bawa dokumen penting," luahnya.
Sama ada tidak menyedari atau mungkin kurang peka terhadap amaran awal namun itulah reaksi pengalaman penduduk terjejas banjir di Taman Sri Muda.
Mereka bersetuju sekiranya ada penambahbaikan keperluan sistem amaran awal bencana untuk diaktifkan di seluruh negara tanpa mengira lokasi, tahap risiko atau bentuk geografi.
Paling penting, maklumat mengenainya perlu disebar-luaskan menerusi pelbagai medium yang lebih pantas, mantap dan berkesan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir Azmi Ibrahim berkata, penubuhan Pasukan Tindakan Khas (Task Force) untuk menggubal sistem komunikasi dan sistem amaran awal bencana adalah langkah tepat.
"Pasukan task force ini dapat mengenal pasti apa yang perlu dilakukan supaya sistem yang sedia ada dapat memberi amaran lebih cepat dan efisien kepada rakyat," katanya kepada RTM.
"Dan yang penting, rakyat menerima amaran tanpa perasaan ragu-ragu dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang akan datang".
Pada masa yang sama sistem dan mekanisme amaran awal bencana perlu ada peningkatan dari semasa ke semasa mengikut trend situasi perubahan iklim yang tidak menentu.
Manakala Pakar Alam Sekitar, Amlir Ayat menegaskan pemuliharaan kawasan tadahan hujan, pewartawaan kawasan dataran banjir, rizab sungai perlu diberi perhatian.
"Pembangunana di kawasan ini perlu dipantau sebaik mungkin dan setiap aspek penguatkuasaan harus diberi keutamaan.
"Kita tidak mahu lagi adanya penggunaan tanah yang tidak terkawal sehingga menyebabkan bencana yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Justeru, dalam pada masa yang sama, kita harus cakna tentang persediaan dan persiapan menghadapi sebarang bencana banjir, tanah runtuh atau pelbagai bencana alam yang tidak dijangka.
Pada Khamis lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan akan mewujudkan pasukan tindakan khas (task force) bagi menggubal sistem komunikasi dan mewujudkan sistem amaran awal bencana yang lebih pantas dan berkesan kepada rakyat.
Ia termasuk membaiki sistem mengguna pakai konsep sistem pesanan ringkas (SMS) 'blasting' supaya di kawasan terkesan dapat menerima amaran awal secara tepat dan cepat.