PUTRAJAYA, 4 November - Malaysia perlu bangkit sebagai hab pemikir serantau yang berteraskan nilai, kepelbagaian dan kesederhanaan bagi memacu kemajuan ASEAN ke arah masa depan yang lebih berilmu dan berdaya saing.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah ASEAN menjadikan negara ini berpotensi menjadi pusat pertembungan tamadun, sekali gus peneraju kepada gelombang idea baharu rantau ini.
“Malaysia dan ASEAN mesti bangkit sebagai hab pemikir yang berakar pada nilai, kaya dengan kepelbagaian serta yakin dengan prinsip kesederhanaan.
"Kita berada di tengah-tengah ASEAN, titik pertemuan tamadun Timur dan Barat. Mengapa Malaysia tidak boleh memimpin melalui IDEA." beliau berucap pada Majlis Perasmian Festival IDEA Putrajaya 2025 (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Beliau turut menegaskan Putrajaya FOI perlu berkembang menjadi satu gerakan yang menyatukan institusi pendidikan dan komuniti melalui Gelombang Idea Nasional bagi memperkukuh budaya kreativiti, ilmu dan inovasi di seluruh negara.
Putrajaya FOI, yang berlangsung selama lima hari bermula Selasa, menampilkan pelbagai pengisian berteraskan ilmu, inovasi dan kreativiti bagi merakyatkan idea serta memperkasa ekosistem pendidikan tinggi negara.
Festival yang memasuki edisi keduanya itu menjadi wadah penting menghimpunkan idea terbaik rakyat daripada pelbagai latar belakang termasuk cendekiawan, penyelidik, pelajar universiti dan masyarakat umum.