KUALA LUMPUR, 4 November - Pengurusan tertinggi serta semua kakitangan dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang mempunyai kepentingan langsung Kerajaan Persekutuan diwajibkan melaksana pengisytiharan harta.
Ini termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) dan Lembaga Tabung Haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pelaksanaan tersebut dibuat mengikut peraturan dan tatacara dalaman organisasi masing-masing sebagai usaha memastikan tadbir urus yang telus dan berintegriti.
"Langkah menyeluruh itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti tadbir urus dalam perkhidmatan awam serta entiti milik kerajaan, " beliau menjawab soalan wakil Klang, V. Ganabatirau.
Beliau turut memaklumkan semua Ahli Lembaga Pengarah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), sama ada lantikan politik atau penjawat awam, turut diwajibkan membuat pengisytiharan harta.
Perkara itu selaras dengan Garis Panduan Tadbir Urus Ahli Lembaga Pengarah Syarikat MKD Tahun 2024.