fb fb fb fb fb

Pendigitalan tingkat ketelusan data pelaporan ESG

Foto FB CGS International

KUALA LUMPUR, 4 November - Malaysia perlu memanfaatkan pendigitalan bagi meningkatkan ketelusan data dalam pelaporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), di samping memperkukuhkan tadbir urus untuk meningkatkan keyakinan pelabur, serta memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi teknologi masa depan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha ini sejajar dengan komitmen negara untuk melangkah ke fasa baharu pembangunan negara dengan menyelaraskan transformasi nasional bersama peluang global.

"Ia memerlukan kerjasama berterusan antara pembuat dasar dengan pengawal selia, institusi kewangan dan peneraju industri.

"Langkah besar seterusnya bagi Malaysia bukan satu lonjakan mendadak, sebaliknya gerak maju yang berdisiplin dan terancang yang dipacu oleh inovasi dan dipandu oleh dasar, serta diperkuatkan melalui kerjasama pelbagai pihak," katanya ketika berucap dalam Persidangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus serta Kelestarian Antarabangsa CGS 2025 di sini.

Beliau turut menegaskan, peralihan ESG bukan sekadar agenda alam sekitar, bahkan penakrifan semula ekonomi nasional yang akan menentukan kedudukan dan daya saing Malaysia di pasaran global.

Persidangan anjuran CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd itu menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan pakar kelestarian, bagi membincangkan usaha mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah sifar bersih.

Pada masa sama, Laporan Tematik mengenai Nuklear untuk Peralihan Tenaga Malaysia turut dilancarkan.

Laporan tersebut meneliti potensi peranan tenaga nuklear, iaitu menumpukan kepada kedudukan tenaga nuklear dalam strategi jangka panjang Malaysia bagi peralihan tenaga, keselamatan tenaga dan perubahan iklim.

MASNIZA AWANG KECHIK