fb fb fb fb fb

Penubuhan SEGiM perlu seiring dengan RUU Pekerja Gig

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 12 Mac- Kerajaan berhasrat memastikan keserasian penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) perlu seiring dengan penyelarasan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, mesyuarat jemaah menteri sebelum ini pernah membangkitkan mengenai SEGiM supaya menjadi badan kawal selia utama selain memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan.

"Di sini mungkin yang kita harapkan adalah keserasian antara matlamat menubuhkan satu Suruhanjaya Ekonomi Gig, dan juga Rang Undang-Undang Pekerja Gig.

"Sebelum ini saya telah menyebut bahawa kabinet telah meminta supaya Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong meneliti dan mengadakan sesi libat urus lebih meluas. Jadi kita berhasrat untuk memastikan kedua-dua Rang Undang-Undang tersebut terselaras," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menyarankan supaya jemaah menteri mempertimbang dan meluluskan SEGiM sebagai badan kawal selia utama bagi memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mapan.

Saranan berkenaan dibuat dengan memberi tumpuan kepada komponen kritikal dalam model ekonomi gig serta aspek yang memerlukan pengawalseliaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI