GEORGE TOWN, 12 Mac- Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang telah meluluskan cadangan pengambilan lebih 100 lot tanah dalam daerah Barat Daya dan Timur Laut negeri itu bagi kerja-kerja fizikal Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang dijangka bermula suku ketiga tahun ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, cadangan pengambilan tanah berkenaan susulan ia melibatkan jajaran di sepanjang LRT Laluan Mutiara.
"Cadangan untuk mengambil tanah tanah berkaitan di sepanjang jajaran ada yang melibatkan tanah bersendirian ada yang melibatkan tanah kerajaan termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
"...ini sedang diuruskan jawatankuasa tanah projek yang akan memperhalusi butir-butir sebelum dimuktamadkan. Bagaimanapun seksyen lapan notis pengambilan akan dikeluarkan setelah diwartakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini.
Projek LRT Laluan Mutiara melibatkan tiga pakej kerja iaitu pakej satu dan dua melibatkan kerja-kerja struktur tanah manakala, pakej tiga melibatkan projek reka bentuk kejuruteraan tren dan koc serta sistem rel.
Setakat ini, bengkel pengurusan nilai sedang dijalankan oleh Kementerian Ekonomi, MRT Corporation (MRTC), dan SRS Consortium untuk memuktamadkan reka bentuk serta kos projek.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan semula tapak pesta Sungai Nibong akan dibangunkan dengan model pembangunan berorientasikan transit (TOD) kerana terdapat tanah yang tersedia di kawasan tersebut.